Wednesday, September 02, 2015

Prosedur Import Kucing Luar Negara 2015

Hari ini aku nak kongsikan cara untuk import kucing daripada luar negara. baru-baru ini aku baru import 3 ekor kucing baka British Shorthair dari Ukraine. Kebanyakkan pengimport sekarang menggunakan khidmat ejen untuk buat Custom Clearance. Guna ejen juga untuk dapatkan permit import dan juga guna ejen untuk isi borang kastam. Jadi, dapatkah anda bayangkan betapa banyaknya duit keluar hanya untuk bawa masuk kucing dari luar negara. Saya cuba kongsikan ilmu saya untuk tatacara Custom Clearance pada 30 Ogos 2015. Jumlah 3 ekor akan saya perincikan seperti berikut. Operasi pejabat2 ini adalah 24 jam.

Pertama...
Anda sudah buat bayaran kepada penjual, dia perlu beri anda maklumat vaksinasi terkini dan umur kucing anda. Health certificate biasa diberi dalam bentuk salinan passport kucing. Maklumat ini diperlukan untuk buat import permit. Untuk makluman, Import permit sudah tidak boleh buat manual di kaunter DVS dan MAQIS. Perlu guna ejen pengimport haiwan. Harga permit yang dikeluarkan oleh PPT KL pada Ogos 2015 adalah RM 250 upah dan RM43 seekor. Harga saya pula adalah RM276 sahaja untuk 3 ekor. (Boleh hubungi saya untuk khidmat Permit Import - Murah je)

Kedua...
Anda perlu buat tempahan kandang kuarantin di Pejabat Kuarantin KLIA(LCCT). Download borang dari laman web MAQIS isi dan faks sahaja lagi mudah. Ini untuk memastikan quota anda ada untuk letakkan kucing selepas ia sampai ke Animal Hotel MASKARGO dari luar negara. Kucing perlu dikuarantin selama 7 hari. Tiada bayaran diperlukan untuk tempahan. Namun buat dalam 7 hari sebelum tarikh import.

Ketiga...
Kucing anda telah tiba di Animal Hotel. Penjual akan beri anda salinan Airway Bill dengan nombor seperti cth: 586 - 8305 8662. Anda boleh track kucing anda menggunakan Kargo Tracking. Apabila telah sampai, anda harus ke Animal Hotel. Namun kena singgah dulu di Pejabat Pas Keselamatan Harian FCZ untuk menukar IC anda kepada pas keselamatan. Pejabat ini terletak dekat dengan Hospital Pusrawi atas cafeteria. Tingkat 1. Dari bulatan ke LCCT trafficlight pertama belok kiri. 

Keempat...
Selepas dapat Daily Pass, anda masuk menggunakan Pintu Kastam yang banyak macam tol gate. Masuk Pintu 9 keluar Pintu 5. Anda akan ditanya hendak kemana, katakan ke Animal Hotel. Keluar kereta dan buka boot untuk diperiksa. Kemudian jalan terus belok kanan terus je belok kiri lalu bawah flyover dan terus ke Animal Hotel. Boleh tanya.

Kelima...
Setibanya di Animal Hotel tunjuk Airway Bill Number anda. Mereka akan beri sampul yang mempunyai Certificate kucing dan Passport kucing serta Sijil Kesihatan kucing anda. Disitu anda akan diminta untuk bayar RM30 setiap kennel dan tambahan 0.25sen/Kg minimum RM 25 jadi Jumlah yang saya bayar untuk 3 ekor kucing adalah RM30+RM30+RM30+RM25 = RM115

Keenam...
Setelah membayar dan dapat resit, Anda perlukan khidmat mengisi borang kastam. Pergi ke CORE 2 tingkat GM Pejabat Forwarding Services. Tanya pihak Animal Hotel, beliau akan tunjukkan jalan. Disana, beri semua dokumen yang anda dapat dari Animal Hotel. Mereka akan siapkan borang kastam dalam 10-20 minit. Bayaran khidmat adalah RM120.

Ketujuh...
Setelah borang kastam diisi, pegawai pengiring akan mengiring anda ke Pejabat MAQIS di Tingkat Lima Blok FCZ di sebelah toll gate kastam. Disana, mereka akan semak import permit dan Airway Bill, Anda mempunyai pilihan untuk bawa sendiri haiwan ke kuarantin atau biarkan pihak MAQIS hantar kucing anda.(passport kucing akan disimpan pihak MAQIS) Boleh kautim dengan pegawai MAQIS. Tetapi kalau guna khidmat mereka RM30 seekor akan dikenakan. Saya hantar sendiri walau pukul jam 12 malam. Kadar semakan yang di kenakan adalah RM25 seekor. Jadi saya membayar RM75 untuk 3 ekor.

Kelapan...
Selesai di MAQIS, kini anda perlu ke pejabat kastam dibawah sekali blok FCZ yang sama untuk buat pembayaran cukai. Nilai cukai bergantung kepada nilai kucing yang anda beli. Perlu ada Invois atau bukti pembayaran. Cara nak selamat, anda belilah atau buatlah kucing anda dengan kelihatan murah. Total nilai kucung saya adalah RM1200 dan dikenakan cukai sebanyak RM85. Tunggu beliau proses, Apabila borang dipulang, pergi ke kaunter pembayaran, buat bayaran cukai selepas itu setelah dapat borang kembali, pergi ke kaunter bertentangan dengan kaunter pembayaran untuk ambil Resit.

Kesembilan...
Dah dapat resit maknanya anda sudah boleh buat clearance. Ambil kucing bawa ke kandang kuarantin atau biarkan sahaja pegawai MAQIS bawa. Jika ambil kucing anda perlu ke Animal Hotel, ambil kucing bawa keluar melalui Pintu 5 terus ke stesen kuarantin KLIA. Anda boleh pilih kandang yang anda minat di Rumah Kucing, sediakan air dan makanan serta pasir yang disediakan di pantri. Lalu, tinggalkan kucing tersebut dan datang seminggu kemudian untuk tuntut kucing anda. Yuran kuarantin adalah RM5 sehari bagi kucing jadi total 3 kucing adalah RM105 untuk seminggu. 

Kesepuluh...
Jangan balilk terus, pergi tukar semula pas keselamatan untuk mendapatkan kad pengenalan anda semula.

Jadi kos yang hangus untuk import kucing sebanyak 3 ekor adalah:
Permit RM276 + Animal Hotel RM115 + Borang Kastam RM120 + MAQIS RM75 + Cukai Kastam RM85 + Kuarantin RM105 = RM776 (3 ekor)

**Pernah ada seseorang yang yakin buat sendiri tapi kena bayar cukai sehingga RM1000 seekor!!
**Masa minimum untuk selesai adalah 5 jam. Jadi bersabarlah!
**Jangan ada sebarang kesilapan dokumen kerana anda pasti akan menyesal kucing anda tidak lepas!
**Ada denda yang di caj oleh MAS Kargo jika anda lambat selesaikan kucing dalam tempoh masa 8 jam!

Tips: Elakkan kerugian, gunakan khidmat agen yg ada... 

Saya bukan ejen, tapi sekadar perkongsian pengalaman yang manis ini... Jumlah saya import kucing adalah sebanyak 22 ekor. Lepas tu saya dah tak buat kerana kejatuhan ringgit akan menyebabkan harga kucing naik. Bukan sebab clearance, tapi sebab nilai ringgit beza RM200-300 untuk harga kucing sahaja masa tu. Jadi dah tak buat... guna je ejen yang sedia ada lagi senang.. kucing sakit jangan bayar ejen! hahaha